Cinta Batu Belah
Cinta Batu Belah ini bermula dengan pertemuan antara Safiya dan Sufian yang menerbitkan bibit percintaan yang mendapat tentangan keluarga apabila Naemah, ibu Safiyyah mula memasang angan-angan hendak menjodohkan Safiyyah dengan Nik Hisyam. Namun, Safiyyah nekad untuk membelakangkan keluarganya dan menikahi Sufian walaupun natijahnya, dia dibuang keluarga.
Berazam untuk memulakan hidup baru, Safiya tinggal bersama Sufian dan ibu mertuanya yang sudah uzur di sebuah rumah kecil yang disewa. Sufian bekerja keras menyara keluarga mereka sementara itu Safiya terpaksa menjaga ibu mertuanya yang semakin tenat. Kehadiran cahaya mata pertama mereka, Natrah menyerikan rumahtangga mereka. Namun, badai mula melanda apabila Sufian bertemu kembali dengan Kamariah rakan sekampung yang pernah menyimpan perasaan terhadapnya dan membangkitkan perasaan cemburu di hati Safiah.
Ketika sedang mengandungkan anaknya yang kedua, Safiya mengidamkan daging rusa dan demi memenuhi permintaan isterinya itu, Sufian pergi ke hutan untuk memburu rusa. Malangnya, kemalangan telah berlaku dan menyebabkan Sufian terkorban. Tertekan dengan tragedi yang menimpa hidupnya, Safiya cuba untuk kembali berbaik dengan Naemah namun ibunya tetap tidak mahu menerima mereka anak-beranak. Terpaksalah Safiya mengharungi pelbagai derita dan tohmahan demi menyara kedua anak- anaknya yang masih kecil itu.
Suatu hari, Safiya membeli sate daging rusa yang telah ditempah seminggu awal. Dia membawa pulang sate daging rusa tersebut dan menyuruh Natrah menyimpan secucuk untuknya sementara dia pergi bersolat. Selesai bersolat, dia dikejutkan oleh jiran dengan keadaan Opah Uteh yang sesak nafas. Dalam keadaan tergesa-gesa Safiyah meninggalkan rumah dan sempat berpesan kepada anak-anaknya untuk tidak menghabiskan makanan tersebut. Sekembalinya di rumah, Safiya terduduk lesu apabila dikhabarkan oleh Natrah bahawa Fikran begitu tamak menghabiskan semua sate daging rusa tersebut walaupun telah ditegah. Sayu mengenangkan sikap anak-anaknya, Safiya terus merajuk dan keluar dari rumah.
Kisah menyayat hati dan penuh dengan pengajaran ini berterusan dengan babak-babak yang meruntun perasaan seterusnya. Kemuncaknya di mana Safiya akhirnya telah tergelincir dan jatuh ke dalam lombong. Maka tinggallah dua beradik ini dengan penyesalan di atas sikap mereka sehingga menyebabkan ibu yang dicintai terkorban.
Released: 2008
Genres: ["Drama"]
Country: Malaysia
Status: Complete